Aku dan Acik
punya beza umur 2 tahun. Walau kami sesama perempuan, kami tidak rapat semasa
kecilnya. Macam anjing dengan kucing..? eh, tidaklah. Kami tidak bercakaran.
Tapi aku tak suka Acik yang cengeng. Sikit-sikit menangis. Menangis yang bukan
seminit dua boleh diam. Rimas..!
Aku lebih betah
bermain dengan abang-abang ku, Ujang dan Munir. Ke mana saja mereka pergi, aku
akan ikut. Dan melarang Acik dari menyertai kami. Yalah, kan dia kecil lagi.
Leceh nak bawa pergi main paya, masuk hutan, bongkar kebun orang. Hey, aku
pernah korek keledek kat kebun orang tau. Kemudian dimakan mentah. Dah semakin
dewasa, baru aku tahu babi je yang suka korek-korek ubi dan makan isi ubinya
mentah-mentah. Sejak bila babi pandai masak sebelum makan, kan?
Duduk di felda,
ramai anak-anak jiran umur lebih kurang sebaya kami. Untuk satu felda ini,
rumah penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kami panggil Blok.
Abah Blok 11. Dalam blok ini, terdapat 10 buah rumah yang berjiran sama ada
sebelah menyebelah ataupun membelakang. Selalu kami akan berkumpul sesama rakan
petang-petang, untuk bermain. Kebetulan ada kawasan lapang di depan kawasan
rumah kami.
Antara permainan
yang glamor orang kata, galah panjang, teng-teng, baling selipar dan lompat
getah. Permainan berkumpulan ini boleh melibatkan ramai orang. Tapi melibatkan
ramai orang pun, aku tetap tidak benarkan Acik menyertainya. Mudah rasa nak
marah bila tengok dia menangis. Bukan rasa simpati. Ya, aku kakak yang tidak
penyayang masa kecilnya. Bekeng betul.
Pernah satu
ketika, aku leka bermain dengan teman lain. Tiba-tiba kak Mai, kakak ku melaung
dari rumah. Dia suruh cari Acik. Acik takda kat rumah. Panik juga masa tu.
Rumah jiran kiri kanan, aku cari, Acik
tiada. Air mata sudah meleleh. Aku memanglah tak suka dia, tapi aku sayang dia.
Bila cari di deret rumah bahagian belakang pn dia takde, panikku bertambah.
Lagi laju air mata ku turun. Rupa-rupanya dia di barisan rumah bertentangan.
Bersama kawan kelas tadikanya sedang memanjat-manjat pokok jambu yang rendang.
Cepat-cepat lap air mata. Kemudian aku jerit suruh dia balik rumah waktu itu
juga. Kacau daun betul aku. Tak boleh tengok orang bahagia.
Itu kisah semasa
cuti sekolah. Bila waktu persekolahan, selalunya petang kami tidak sempat untuk
berkumpul dan bermain memandang terdapat rakan-rakan yang sekolah agama
petangnya sehingga 6.30 petang. Selalu waktu cuti pun, 6.30petang mak akan
menjerit dari rumah suruh kami pulang. Selalunya kami buat tak endah. Hinggalah
kedengaran bunyi motor abah balik dari kebun, barulah kelam-kabut kami berlari
balik rumah. Kadang-kadang bila mood mak tak elok, dia tunggu di muka pintu dengan paip getah. Siapa tak marah
kalau kejap lagi nk berebut-rebut guna bilik air.
Masuk waktu
maghrib, kalau tak bersiap lagi atas sejadah, kene libas pulak dengan abah
menggunakan rotan halusnya. Dan Acik selalu mengelat. Dia akan menangis dulu
sebelum kena. Menyampahkan? Kadang-kadang bila tak puas hati, aku cubit dia
dalam diam. Aku dulu memang macam mak tiri. Tapi belum masuk kes mendera lagi.
Belum masuk
cerita pergi sekolah pagi setiap hari. Lagi-lagi hari Isnin, hari pertama
persekolah setiap minggu. Baju sekolah dia, jangan haraplah dia nak gosok
sendiri. Stokin pula pagi-pagi baru nak cari. Anak tudung lagi. Argh..! dah lah
selalu bangun lambat. Nak mandi pun sempat menangis dulu. Dengan buku tak
berkemas. Selalu aku kene marah sebab tak tolong Acik. Masalahnya aku sendiri
pun lambat. Dah macam mana?
Oleh kerana
jarak sekolah cuma lebih kurang sebatu, kami hanya berjalan kaki sahaja setiap
hari. Kecuali kalau hari-hari hujan. Ataupun lambat sangat, kami akan minta
abah hantar. Boleh kata setiap hari aku akan bebel-bebel kt Acik sepanjang
perjalanan tu. Geram tau. Dah lah jalan lambat. Itupun dia sempat menangis
lagi. Malu betul bila lalu depan warung Wak Jamal. Kadang-kadang sebab menahan
geram sangat, aku pun turut menangis. Bila kawan tegur mata merah, aku katakan
mata masuk habuk. Alasan tak releven betul.
Peliknya Acik
ni, masa sekolah rendah, gila-gila dia suka tidur dalam kelas. Sampai cikgu
cari aku tanya kenapa Acik suka tidur dalam kelas. Aku pun taktau nak jawab
apa. Acik dalam pelajaran, memang dia tidak berminat sangat. Boleh kata semua
kelas dia akan tidur kecuali kelas matematik. Naik pelik cikgu kelas dia yang
kebetulan masa tu mengajar Bahasa Melayu dan Matematik Acik. Aku pula tak tidur
masa sekolah rendah. Tapi naik sekolah menengah, hobi tidur dalam kelas.
Lagi lucu Acik
ni, bila sampai waktu pemeriksaan gigi. Kan normalnya ada dua peringkat.
Peringkat pertama selalu doktor atau misi-misi periksa dulu. Peringkat kedua
barulah dipanggil sesiapa yang perlukan rawatan gigi. Acik ni pula, baru
peringkat pertama dia sudah meraung-raung. Sampai pernah dua orang cikgu pegang
dia nak paksa dia masuk bilik pemeriksaan. Doktor pujuk, misi-misi pujuk pun
tak laku. Aku..? Aku tengok dari tingkat atas yang kebetulan lalu nak pergi ke
pusat sumber. Masa tu dia darjah dua tak silap.
Bila raya, mak
suka belikan baju yang lebih kurang sama coraknya dengan Acik. Aku tak suka.
Serius..! Entah apalah aku jakikan sangat dengan adik perempuan seorang ni.
Baju aku lama-lama yang sudah tidak sesuai dengan aku pun, aku tak bagi dia
pakai. Banyak kali aku suruh dia tukar baju dia sendiri bila baju aku dah
melekat di tubuh dia. Padahl ikutkan, baju tu aku tak muat dah pun. Mak marah.
Banyak kali. Fikir-fikir semula pun, pelik. Takda apa yang perlu dicemburukan
pun dengan Acik ni. Mungkin aku jenis tak boleh tengok orang bahagia. Sampai ke
sudah, baju aku dia memang tak boleh sarung sebab saiz badan dia memang lagi
besar dari aku.
Masuk darjah
tiga, cengengnya makin berkurang. Mungkin sebab adik lagi satu pun sudah darjah
satu. Kenalah tunjukkan tauladan elok sikit. Bila masuk aku masuk sekolah
menengah berasrama, aku dah tak ambil tahu sangat pasal Acik. Perkembangan dia
aku tak ambil kisah. Sedar-sedar, masing-masing dah besar.
Dan Acik sudah
berubah. Dia tidak menangis. Malah lebih berdikari. Bersekolah menengah harian,
tinggal di felda bersama keluarga buat dia tahu macam mana kehidupan sebenar.
Bergaul dengan masyarakat. Dia jadi lebih berani berbanding aku. Makin ganas
kata mak. Bila abah membuat keputusan mahu menghantarnya ke sekolah menengah
Arab, dia ugut abah tak mahu sekolah.
Dia memang
sangat berani pada pandangan aku. Dia lebih dahulu pandai menunggang motor
berbanding aku. Dia suka berjalan keliling kampung setiap petang. Van buruk
abah tu pun, sudah puas dia lenjan sebaik sahaja berjaya mendapatkan lesen
memandu. Aku pula takut pada motor. Sampai ke sudah bawa motor hanya sekitar
rumah. Teringat semasa mula-mula belajar membawa motor. Nak menarik brek
tangan, tapi tangan terpulas minyak. Sedar-sedar adik paling kecil dah terduduk
dengan tayar motor betul-betul pada perutnya. Kalau teruskan lagi, tak tahu apa
jadi pada adik. Itu buat aku sedikit trauma.
Ya, di felda
kami, Acik memang lebih dikenali berbanding aku. Dengan menolong abah menjaga
kedai mini milik abah, mustahillah orang tak kenal. Orang kampung kadang-kadang
tak perasan kewujudan aku sebagai anak abah. Seringkali bila menolong di kedai,
orang akan tanya, “anak siapa ni..” pada aku. Sadis betul. Acik kelihatannya
lebih matang dari aku. Dengan tubuh yang lebih besar. Wajah yang sedikit
garang. Orang selalu ingat dia kakak pada aku. Mungkin faktor muka aku yang
awet muda pun jadi sebab orang keliru kan..? pffttt..!
Sekarang, kami
terasa sangat kehilangan dia. Dia sedang mencapai impian dia untuk menjadi
seorang askar. Ikut jejak langkah abah. Tapi abah berhenti jadi askar 2 tahun
awal sebelum layak dapat wang pencen bulanan. Kira abah tak layak untuk dapat
gelaran askar pencen, lah kan? Abah bertindak nekad berhenti askar untuk masuk
ke tanah rancangan. Acik sanggup berdiet semata-mata mahu mencapai impiannya.
Teringat pertama kali teman dia untuk temuduga askar, dia gagal kerana terlebih
berat. Bertambah kecewa bila umur dia waktu itu sudah masuk umur maksimum untuk
memohon masuk. Tapi memang rezeki dia, akhirnya dapat juga walaupun dipanggil
pada saat-saat terakhir.
Kenapa rasa
kehilangan..? Kerana sejak dahulu lagi dia banyak membantu di kedai kecil milik
Abah. Dari dia lepas SPM, memang abah meletakkan sepenuh kepercayaan pada Acik
memandangkan dia tidak berminat mahu meneruskan pelajaran. Dari tanggungjawap
membuka pintu kedai, ke susun atur barang, mengambil order barang yang kehabisan
sehingga ke tutup semula kedai, semua dalam genggaman dia. Bila dia tidak lagi
dapat membantu, mak dan abah yang terpaksa bekerja keras memandangkan kedai
tersebut dibuka seawal 6.30pagi dan ditutup 10.30 malam.
Tiada siapa lagi
mahu menjemput dan menghantar aku ke stesen bas untuk pulang ke tempat aku
belajar. Kalau sebelum ni, sampai malam ke kampung pun, tidak menjadi masalah.
Acik sentiasa ada di rumah. Tapi sekarang kena pastikan ikut masa abah ada di
rumah. Nak balik petang pun, perlu bagitahu abah sedari subuh lagi kalau tidak
mahu kene leter dengan abah. Jika tidak, terpaksalah menunggu berjam-jam di
stesen bas memandangkan tiada siapa yang mahu menjemput.
Sekarang aku
cukup bersyukur. Bila diingat-ingat kembali apa aku dah buat pada Acik, aku
akan simpan dendam kalau aku berada pada tempat dia. Sekarang kami sudah boleh
berkongsi cerita. Bergurau senda. Lucu bila timbulkan isu kahwin, dia cukup
marah kalau aku suruh dia kahwin dulu. Muncung jangan nak cerita.
Kenapa Acik je
aku cerita sedangkan aku ada 2 lagi adik yang lain.? Dengan Acik je aku rasa
aku cukup kejam. Dan ketika ni, aku rindu dia. Dia tak pernah takda kat rumah
dalam tempoh yang lama selepas habis menjalani kursus membuat pastry yang dia
ambil selepas SPM dulu.
Oh, lupa nak
cerita. Dipanggil Acik bukan sebab kedudukan dalam keluarga. Tapi kerana masa
kecilnya dia, dia suka menggelar dirinya kakak. Abah letak kakak kecik.
Lama-lama jadilah Acik je.
Berhenti disini cerita aku ni, kalau aku teruskan menaip aku tak tahu berapa panjang lagi akan terhasil apabila satu persatu kenangan bermain depan mata. Terima kasih sudi baca =)
No comments:
Post a Comment